sumber : malaymail.com

i – Sinar | Kriteria Permohonan Mengikut Data KWSP

BERIKUTAN pelbagai persoalan timbul daripada masyarakat mengenai kemudahan skim i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi itu tampil memberikan jawapan demi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan terjejas.

Soalan (S): Bagaimanakah KWSP menetapkan mekanisme dan kriteria i-Sinar?

Jawapan (J): Perincian i-Sinar ditetapkan berikutan perbincangan rapat dan berterusan selama beberapa bulan berserta perundingan dengan pihak berkepentingan utama dari sektor awam dan swasta, termasuk Kementerian Kewangan.

Kriteria dan mekanisme itu ditetapkan selepas mempertimbangkan keutamaan keperluan harian dalam menghadapi cabaran COVID-19 serta mengimbangi mandat KWSP untuk melindungi simpanan ahli untuk persaraan mereka pada masa hadapan.

Bantuan i-Sinar ini juga dipertimbangkan dalam konteks bantuan yang sudah disumbang KWSP sejak Mac lalu dan juga bantuan lain.

Kerajaan melalui pakej rancangan ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KitaPrihatin), bertujuan mengurangkan beban aliran tunai serta tanggungan individu dan isi rumah.

S: Ahli KWSP rata-rata kecewa dengan syarat i-Sinar dikatakan menyusahkan dan sukar. Komen KWSP?

J: i-Sinar tidak bersyarat dan apa dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada KWSP yang akan membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.

Proses pengesahan diperlukan untuk mengelakkan penipuan dan pengeluaran i-Sinar secara haram oleh pihak ketiga.

Ahli memenuhi kriteria, permohonannya akan diluluskan secara automatik. Permohonan ahli juga dibuat dalam talian hanya memerlukan pengesahan amaun maksimum sahaja. Permohonan bermula daripada 21 Disember.

Kategori 1 adalah untuk ahli tiada caruman untuk dua bulan berturut-turut ketika permohonan dibuat, suri rumah dan ahli yang lama tidak mencarum dengan data dalaman KWSP digunakan untuk mengesahkan perkara ini.

Kategori ini juga dibuka kepada ahli bekerja sendiri dan dalam sektor ekonomi gig. Oleh itu, tiada keperluan untuk mereka memberi dokumen sokongan ketika permohonan.

Kategori 2 pula adalah untuk mereka mengalami penurunan pendapatan tetapi tiada cara untuk KWSP mengesahkan kedudukan mereka tanpa dokumen sokongan. KWSP hanya dapat mengesan pengurangan gaji pokok (melalui caruman) tetapi tidak dapat mengesan pengurangan pada elaun, gaji bekerja lebih masa dan lain-lain.

Disebabkan setiap situasi ahli adalah unik, kategori 2 memberi ruang untuk KWSP mempertimbangkan situasi ahli berdasarkan dokumen sokongan. Mereka hanya perlu memohon secara dalam talian.

S: Mengapakah KWSP tidak memberi kelulusan automatik i-Sinar bagi mereka yang memohon i-Lestari?

J: Situasi ketika KWSP melancarkan i-Lestari dan i-Sinar sangat berbeza, negara berada dalam situasi berlainan ketika itu dan pada masa sekarang.

Aktiviti ekonomi terhenti sepanjang tempoh PKP (mulai Mac). Kini, sektor ekonomi dibuka semula dan sebahagian besar pekerja kembali bekerja serta mencarum semula dengan KWSP.

Bagaimanapun, KWSP memahami situasi ekonomi berbeza bagi setiap ahli dan bergantung kepada sektor pekerjaan dan industri masing-masing. Justeru, i-Sinar tersedia untuk membantu ahli berkenaan.

S: Sebilangan ahli tidak mengalami pengurangan 30 peratus tetapi memerlukan wang tunai untuk menampung kehidupan dalam wabak ini, terutama golongan B40 dan M40. Bolehkah mereka dipertimbangkan?

J: Masih ada ruang di bawah Kategori 2 untuk mempertimbangkan permohonan ahli terkesan. Sekiranya ahli mengalami pengurangan pendapatan atau gaji dan mempunyai dokumen sokongan sebagai bukti, mereka digalakkan memohon pada 11 Januari depan.

KWSP akan mempertimbangkan permohonan itu. Ini bagi memastikan pintu tidak tertutup dan memberi peluang kepada seramai mungkin ahli memohon i-Sinar, dianggarkan hingga 8 juta pemohon.

S: Mengapa KWSP menetapkan pembayaran berperingkat enam bulan untuk i-Sinar sedangkan anggota memerlukan wang dengan cepat? Mengapa tidak boleh dibuat secara one-off?

J: KWSP ingin memastikan ahli dibantu untuk tempoh selama mungkin dan memahami bulan pertama adalah penting untuk ahli membayar tanggungan serta perbelanjaan awal tahun seperti persekolahan anak.

Oleh itu, pendekatan berperingkat berdasarkan beberapa pertimbangan, iaitu pertama, data semasa tanggungan ahli KWSP; kedua, perlunya memanjangkan tempoh bantuan kerana ketidaktentuan tempoh penularan pandemik COVID-19 dan ketiga, bagi mengimbangi aliran tunai dan struktur pelaburan sedia ada KWSP.

Untuk peringatan, pembayaran pertama i-Sinar adalah sehingga RM5,000 (bagi mereka mempunyai baki Akaun 1 RM100,000 dan ke bawah) kerana KWSP memahami banyak perbelanjaan diperlukan pada awal tahun seperti bayaran persekolahan anak.

Perlu diingatkan bantuan perlu dilihat dalam konteks menyeluruh, termasuk bantuan PRIHATIN, PENJANA dan KitaPrihatin yang bertujuan mengurangkan beban aliran tunai dan tanggungan individu dan isi rumah.

Contohnya bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (Fasa 2) juga akan diberikan Januari depan dan Bantuan Pinjaman Bank seperti moratorium serta pengurangan bayaran juga tersedia untuk manfaat individu.

S: Bolehkah masa diambil untuk pemprosesan permohonan dipendekkan kerana ahli terdesak? Adakah aplikasi dalam talian untuk mengurangkan ahli ke cawangan?

J: Bagi mereka dalam Kategori 1, KWSP mempercepatkan proses permohonan melalui kelulusan automatik menggunakan data dalaman. Dianggarkan ahli akan menerima pembayaran pertama pada pertengahan Januari depan.

Bagi mereka dalam Kategori 2, KWSP menganggarkan masa pemprosesan antara dua hingga tiga minggu dari tarikh permohonan, bagi membolehkan pengesahan dokumen dan pertimbangan kes demi kes. Dianggarkan ahli akan menerima bayaran pertama pada akhir Februari.

Anggota dikehendaki membuat permohonan dalam talian. Sebelum memohon ahli mesti melakukan perkara berikut: Pastikan i-Akaun aktif, pastikan nombor telefon dikemas kini untuk menerima nombor TAC (boleh dilakukan di kaunter KWSP atau kios) dan pastikan nombor akaun bank adalah aktif.

S: Apakah kaedah pengisian semula untuk i-Sinar?

J: Bagi ahli memohon i-Sinar, semua caruman pada masa depan akan disalurkan ke Akaun 1 hingga jumlah dikeluarkan diisi semula. Setelah jumlah dikeluarkan diisi semula, caruman akan kembali kepada asal, iaitu 70:30 di Akaun 1 dan Akaun 2.

S: Bolehkah tindakan diambil terhadap majikan enggan bekerjasama dan memudahkan permohonan i-Sinar pekerja mereka?

J: KWSP akan memastikan tindakan akan diambil kepada majikan yang tidak bekerjasama untuk memastikan permohonan i-Sinar ahli lancar.

S: Apakah impak i-Sinar kepada kedudukan kewangan KWSP?

J: Berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) kami, pelaburan KWSP terbukti mampu bertahan sejauh ini walaupun ada cabaran unik dihadapi pasaran ketika ekonomi lembap.

KWSP terus mempelbagaikan pelaburannya dalam pasaran domestik dan global dengan mempertimbangkan keperluan aliran tunai mencukupi setiap waktu, termasuk waktu melampau dan tidak diduga seperti wabak.

Pada asasnya, KWSP ialah pelaburan jangka panjang dan setiap keputusan pelaburan dibuat akan terus mempertimbangkan tanggungjawabnya untuk mengekalkan dana anggota, walaupun dalam situasi belum pernah terjadi seperti wabak ini.

Pada masa ini dan berpandukan struktur i-Sinar sedia ada, semua tindakan KWSP akan memastikan tiada impak kepada pasaran domestik.

S: Apakah kesan i-Sinar kepada persaraan masa depan ahli? Apa nasihat KWSP kepada mereka?

J: Walaupun KWSP memahami keperluan ahli mengeluarkan simpanan untuk bertahan dalam waktu sukar ini, KWSP berharap ahli dapat membuat perancangan mengenai jumlah yang diperlukan agar dapat memenuhi keperluan hari ini sambil meminimumkan kesan persaraan masa hadapan.

KWSP mengalu-alukan ahli untuk berjumpa Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk mendapatkan nasihat kewangan.

sumber : www.bharian.com.my

Pencarian Berdasarkan Kata Kunci

i - Sinar | Kriteria Permohonan Mengikut Data KWSP - ACTUINDE | Laman Berita Semasa Terkini Malaysia Teknologi Gajet Smartphone