sumber : https://www.hmetro.com.my/

Bidaan Nombor Untuk Plat DDX | JPJ Sasarkan RM2 juta

Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mensasarkan kutipan bidaan melebihi RM2 juta bagi nombor siri pendaftaran DDX yang dibuka selama lima hari bermula 10 hingga 14 Disember.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan siri DDX dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bermula 10 Disember pada jam 12 tengah malam dan keputusan bidaan akan diumumkan pada 15 Disember.

Menurutnya, harga bidaan mengikut nilai minimum yang sudah ditetapkan berdasarkan kategori iaitu nombor utama yang bermula RM20,000; nombor menarik RM3,000; nombor popular RM800 dan nombor biasa ialah RM300.

“Pendaftaran untuk pembidaan boleh dilakukan di portal¬†http://.jpjebid.jpj.gov.my¬†atau melalui aplikasi mudah alih JPJebid yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas selain syarikat berdaftar.

“Walau bagaimanapun, orang awam atau syarikat yang tiada rekod di sistem Mysikap seperti rekod kenderaan, lesen atau saman perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu di pejabat JPJ negeri dan cawangan JPJ kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi syarikat tidak melebihi lima nombor sahaja,” katanya dalam sidang media di Harima Motor Sdn Bhd, dekat Tunjong, di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan JPJeBid yang diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDW, pihaknya berjaya mengutip sebanyak RM11.88 juta.

“Bagi nombor siri pendaftaran DDP jumlah kutipan diperoleh adalah sebanyak RM1,041,883; DDQ (RM1,255,212); DDR (RM1,371,774); DDS (RM1,668,096); DDT (RM1,350,822); DDU (RM1,735,000); DDV (RM1,980,000) dan DDW (RM1,440,000).

“Merujuk kepada statistik bidaan JPJeBid di seluruh negara nombor siri pendaftaran PPP mengutip hasil tertinggi sepanjang sistem ini diperkenalkan dengan kutipan sebanyak RM7.3 juta.

“JPJ Negeri Kelantan merekodkan nombor siri pendaftaran DDV 1 adalah bidaan tertinggi bernilai RM250,000,” katanya.

Beliau berkata, melalui JPJeBid ia menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

“Dalam masa sama, ia juga dapat meningkatkan kecekapan proses bidaan secara manual kepada penggunaan secara dalam talian selain persekitaran keselamatan sistem yang terjamin serta kebolehan mengakses sistem JPJeBid secara dalam talian di mana-mana sahaja tanpa mengira masa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Negeri Kelantan, Tuan Nik Azhan @ Azhan Ab Hadi dan Ketua Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Kelantan, Mohd Apandi Jusoh.

sumber : https://www.hmetro.com.my/